Wednesday, June 17, 2009

Bangunan Sultan Abdul Samad

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Aku takda kerja nak bagi seketul- seketul folio aku kat hangpa. Tolong sikit- sikit sudeh ;p Kalau nak hasil kajian, kaedah dengan yang lain tu mintak kat aku!


Elemen 2 { Objektif Kajian }

OBJEKTIF KAJIAN

Antara objektif kajian ini dilaksanakan adalah untuk membolehkan murid mengenali dan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai bangunan bersejarah yang dipilih. Oleh yang demikian, murid dapat mengambil iktibar daripada catatan sejarah yang berkaitan dengan bangunan tersebut.

Seterusnya, masyarakat tanah air juga akan lebih menyintai dan berbangga akan negara Malaysia setelah mempelajari tentang kepelbagaian sejarah yang tercatat di sebalik sebuah bangunan bersejarah, khususnya bangunan yang dipilih dalam kajian. Hal ini juga akan menyedarkan masyarakat untuk menghargai segala jasa dan pengorbanan tokoh- tokoh tanah air. Seterusnya, akan memupuk minat masyarakat untuk mengkaji keindahan seni bina bangunan bersejarah yang unik dan tersendiri.


Oleh yang demikian, negara Malaysia akan mempunyai masyarakat yang benar- benar cinta akan bangsa dan tanah air. Hal ini akan menempatkan Malaysia di mata seluruh dunia. Negara Malaysia tidak akan dipandang rendah, sebaliknya disanjung tinggi oleh seisi dunia disebabkan keunggulannya dari segi kekayaan sejarah dan bilangan bangsa yang bersemangat kenegaraan.



Elemen 2 { Rumusan }

RUMUSAN

Saya berasa amat bersyukur kerana dapat menyelesaikan tugasan Kerja Kursus Sejarah, Penilaian Menengah Rendah 2009 ini dalam tempoh yang ditetapkan. Sepanjang tempoh penyiapan tugasan ini, saya memperoleh banyak pengajaran, pengetahuan dan nilai murni.

Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan suatu mercu tanda yang sangat sinonim bagi bandaraya Kuala Lumpur hatta negara Malaysia. Kehadiran, keunikan dan identiti seni bina yang terdapat pada bangunan tersebut mendapat pujian dan sanjungan dari segenap lapisan penduduk Malaysia mahupun luar negara. Bangunan ini telah berjaya menjadi ikon kepada Kuala Lumpur dan beberapa perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka dan acara-acara yang membabitkan promosi pelancongan negara.

Melalui kajian ini, saya dapat mengetahui dengan lebih lanjut, jelas dan terperinci tentang Bangunan Sultan Abdul Samad. Saya juga berasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Salah satu sebabnya ialah kerana Malaysia kaya dengan sejarahnya yang tersendiri, termasuklah dari segi kekayaan bangunan yang bersejarah, contohnya Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini masih tersergam indah di tengah- tengah ibu kota, walaupun usianya sudah mencecah lebih seratus tahun. Saya juga menghargai segala jasa dan perjuangan tokoh- tokoh tanah air yang telah berkorban demi mempertahankan maruah bangsa dan negara.

Melalui kajian ini juga, saya telah terlatih untuk berdisiplin. Saya perlu melaksanakan tugasan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan seterusnya menyerahkan tugasan yang telah sempurna disiapkan pada tarikh yang ditetapkan. Bukan itu sahaja, saya juga sedar akan kepentingan untuk bersifat amanah dan jujur. Sebagai contoh, saya melaksanakan tugasan ini dengan berbincang dengan rakan sekelas untuk mendapatkan idea dan maklumat tambahan. Saya bersikap jujur dengan tidak hanya menyalin tugasan rakan saya. Hal ini boleh dikaitkan dengan perekaan bentuk Bangunan Sultan Abdul Samad oleh arkitek A.C. Norman. Berdasarkan kajian yang telah saya jalankan, beliau pernah melawat negara Afrika. Di situlah tercetusnya idea kepada beliau untuk menggunakan seni bina Moor pada reka bentuk Bangunan Sultan Abdul Samad iaitu apabila melihat masjid- masjid yang terdapat di situ. Beliau tidak hanya meniru bulat- bulat reka bentuk dari mana- mana bangunan lain, seterusnya menghasilkan sebuah bangunan yang sangat unik dan unggul dari segi seni bina dan reka bentuknya.

Saya mengkaji bangunan bersejarah yang memberi saya pengalaman dari segi pencarian maklumat. Saya juga memperoleh pengalaman kerana berpeluang mewujudkan kerjasama antara rakan dan mewawancara bersama beberapa pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung. Dengan erti kata lain, sepanjang tempoh pelaksanaan tugasan ini, telah terpupuknya semangat kekitaan dan semangat bekerjasama. Semangat ini jugalah yang sangat diperlukan bagi mengekalkan keunggulan dan keutuhan bangunan warisan bangsa yang masih wujud di negara kita ini.

Akhir kata, pengkajian ini juga menaikkan semangat patriotisme kepada saya kerana dengan mengenali dan mengkaji bangunan bersejarah, saya dapat lebih menjiwai dan menyintai negara Malaysia yang makmur ini. Seperti yang disebut dalam peribahasa Melayu, "tak kenal maka tidak cinta". Kini dengan segala info dan pengetahuan yang saya ada mengenai sejarah negara, saya akan lebih bersemangat untuk berusaha menjaga dan memartabatkan maruah bangsa dan negara.

1 comment: